... tiada takut
अभयदान Abhaya dāna
Kurniaan ketidaktakutan, amanah kepercayaan, keselamatan, toleransi, dan kemesraan. Dalam mempertimbang anugerah-anugerah kurniaan ini, apabila seseorang itu memberi ruang dan peluang untuk orang lain bergerak atau memberi masa untuk orang lain berfikir, atau tidak memperkecil kemampuan orang lain atau tidak mendedahkan kelemahan orang lain, maka dia pun dikira sebagai memberi kurniaan ketidaktakutan, amanah kepercayaan, keselamatan, toleransi, dan kemesraan kepada sesama makhluk.
Anguttara Nikaya, kitab ketiga, ayat 172, menyebut bahawasanya, baginda Buddha bersabda, "Seseorang itu mestilah memberi dengan cara yang tidak menjatuhkan air muka si penerima, memalukannya, memperkecilnya dan menyakiti rohani serta jasmaninya. Seseorang itu haruslah dengan segala pertimbangan dan hormatnya memberi, dan membuat si penerima itu berasa dihargai dan berpulang dengan gembira".
Penglibatan diri sendiri dalam tindakan memberi seperti menyampaikan pemberian dengan tangan sendiri serta menggalakkan hubungan lebih mesra dan rapat menerusi sikap rela hati, ambil berat dan penuh perhatian terhadap si penerima sudah semestinya mempertingkat lagi kualiti amalan abhaya dāna kita.
Hal ini akan menjadi lebih baik lagi sekiranya kita memberi kepada sesama makhluk barangan yang terbaik, terbaru, sesuai, dan terpilih serta disukai oleh diri kita sendiri. Bukannya memberi barangan yang sudah punah, jahanam dan buruk yang sesuai untuk dibuang saja.
अधिट्ठान Adhiṭṭhāna
... keputusan, resolusi, aspirasi, keazaman, kehendak, pengharapan, cita-cita
Berbeza dengan nazar, keazaman adalah berasaskan kepada hikmah, belas kasih, dan sikap tidak mementingkan diri sendiri. Ia bukan juga janji-janji untuk membalas hutang budi di kemudian hari.
Ia merupakan sifat murni utama yang diperlukan oleh kita demi mencapai jalan rohaniah. Menerusi keazaman yang kuat juga, seseorang itu menyempurnakan pāramī-pāramīnya. Penganut ajaran baginda Buddha gemar berazam di pohon Bodhi (Pīpal). Sama seperti perbuatan sang Bodhisatta, Siddarth Gotama, sebelum baginda mencapai pencerahan jiwa.
Kita berazam dengan mengucapkan:
"Dengan kekuatan pahala-pahala yang aku kumpul ini, semoga aku..."
Apabila seseorang itu berbuat satu amalan kebajikan, contohnya seperti dāna (sedekah), maka haruslah dia membuat pengharapan atau cita-cita:
"Semoga dāna oleh aku ini menjadi syarat pula untuk aku belajar, beramal dan menyedari Kebenaran sehingga aku mencapai Nibbāna".
अनत्ता Anattā
... mengandungi dua perkataan, an- (tidak) dan attā (roh, entiti metafizik atau diri yang abadi; maksudnya tiada ego, jasad itu kosong saja tanpa roh.
Doktrin anattā ini merupakan antara ajaran yang terpenting dalam ajaran Buddha. Doktrin ini juga membezakan ajaran Buddha dengan agama-agama utama di dunia. Namun, makna istilah ini sering disalahtafsir serta diputarbelit oleh orang ramai.
Dalam maya ini, tiada sesuatu pun yang boleh dipanggil sebagai teras dalaman, yang abadi dan penuh kebahagiaan sebenar. Tiada pembuat di samping membuat. Tiada sesiapa pun di maya ini yang serba berkuasa, kerana segalanya itu bergantung kepada belas penciptaan dan peleraian segala benda.
Kita ini adalah sebatian lima khanda (jumlah), yang saling bertindak balas dan saling bergantung sesama sendiri serta membentuk keperibadian. Tiada pengarah, tiada pelaku, tiada sesiapa pun yang mengalami sesuatu dan tiada sebarang zat pun yang ditemui.
Oleh itu, tiada sebarang "aku" di maya ini. Tiada "diriku", dan tiada "aku punya". Namun, badan, perasaan, tanggapan, pembentukan mental, dan kesedaran terhadap fenomena itulah dialami oleh kita. Hal itulah yang kita rujuk sebagai "ego" atau "aku" dalam kehidupan seharian kita di maya ini.
अनिच्च Anicca
... ketidakabadian, berubah-ubah, tidak kekal, tidak tetap, dan sementara.
Dua ciri maya ini iaitu dukkha (penderitaan) dan anattā (tiada peribadi), muncul dari hakikat ini. Sebarang benda yang terbit dan berlalu itu, adalah anicca (sementara) saja. Sebarang perkara yang anicca (sementara) itu adalah dukkha (penderitaan). Sebarang perkara yang dukkha (sengsara) itu adalah anattā (tiada peribadi).
Anicca ini adalah fitrah alam semesta. Segala perkara dalam alam semesta ini, sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa; minda atau bahan; tertakluk kepada perubahan. Dalam doktrin hukum kamma (penyebab dan kesan), segala perkara di alam semesta ini tercetus dari penyebab-penyebab dan merupakan kesan-kesan selepas penyebab. Oleh itu, segala yang berada dalam kewujudan ini sentiasa berubah-ubah dalam aliran.
Anicca (tidak kekal) ini bukan penyebab sebenar kepada wujudnya dukkha (penderitaan) di dunia ini, sebaliknya, keterikatan dan kecenderungan hati terhadap duniawi ini yang kekal dan selama-lamanya.
Sabda baginda Buddha yang terakhir bermaksud:
"Segala bahan yang membentuk jisim itu, tertakluk kepada perubahan demi perubahan; berusahalah dengan tekun".