Apabila penganut-penganut agama yang mempunyai doktrin mengenai kepercayaan terhadap dewa-dewa sebagai Tuhan mengalami ketakutan, kesedihan atau sebarang gangguan, mereka pun berseru meminta pertolongan dan perlindungan.
Kebanyakan penganut ajaran Buddha mengemukakan pertanyaan, ke mana harus kita tuju sekiranya kita mengalami peristiwa-peristiwa yang mengancam kita? Dalam hal sebegini, penganut ajaran Buddha boleh mengingati Buddha Guru di ingatan dan hati mereka serta meminta ketenangan di hati. Sudah semestinya, konsep ketuhanan dalam ajaran Buddha berbeza dengan konsep-konsep doktrin agama-agama lain. Namun, apabila penganut ajaran Buddha merenung ciri-ciri murni baginda Buddha, kejayaan-kejayaan rohaniah baginda, dan sifat-sifat mulia lagi tenang yang pernah dipaparkan oleh baginda, maka fikiran mereka boleh menjadi tenang serta mereka pun mendapat keyakinan untuk mengharungi halangan-halangan.
Sebenarnya, penganut-penganut agama lain pun mendakwa bahawa Tuhan itu bukan seperti manusia. Sesetengahnya pula mendakwa bahawa Tuhan itu adalah "tenaga" yang dipertokohkan dalam minda kita. Apabila fikiran mereka ditenangkan dan diperkukuh pula bertumpu kepada "kekuatan" ini, mereka pun boleh menghadapi segala gangguan yang berlaku, menilai atau meneliti permasalahan serta seterusnya mencari jalan-jalan penyelesaian untuk permasalahan yang dihadapi.
Penganut ajaran Buddha boleh menangani hal ini dengan cara yang serupa iaitu dengan memanggil semula ingatan terhadap Buddha Guru dan ajaran-ajaran baginda. Secara fitrahnya, kebanyakan masalah kita muncul disebabkan oleh minda kita juga. Cuma minda sajalah yang boleh menyelesaikannya menerusi pemahaman dan keyakinan. Oleh itu, pengetahuan Dhamma sangatlah penting untuk kita.
Apabila minda diperkuat menerusi ilham dan penumpuan terhadap Guru, maka rasa takut terhadap roh-roh jahat, rasa seperti tidak mampu, dan rasa keseorangan pun menghilang berganti dengan keyakinan. Inilah pengertian meminta perlindungan Buddha.
Semasa meminta perlindungan untuk anak yang dikandung di biara, persembahan seperti bunga-bungaan, colok cendana, lilin, dan buah-buahan bolehlah dibuat di bilik permakaman. Bhikṣu yang berdiam di situ boleh dijemput untuk membacakan sutta memberkati anak anda. Jika perlu, bolehlah meminta nasihat dari bhikṣu untuk pemilihan nama anak.
Dalam tempoh pembesaran anak-anak, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk selalu membawa anak ke biara bagi membolehkannya bergaul dan terdedah dengan orang-orang yang berfikiran agama. Di samping itu, anak-anak boleh mendengar ceramah agama dan perbincangan ilmiah yang turut membantu perkembangan fikiran keagamaannya. Menurut perubahan masa, anak-anak pun sudah menyesuaikan diri dengan amalan-amalan sebagai seorang penganut ajaran Buddha serta berasa selesa berada di biara.
Sudah semestinya, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke biara untuk khidmat upacara-upacara merestui yang khusus atau ketika peristiwa-peristiwa penting dalam hidup anak seperti hari pertama ke sekolah, peperiksaan, hari kelahiran dan lain-lain peristiwa yang mengembirakan.
Anak-anak yang selalu mendengar bacaan sutta akan memperolehi keyakinan dan jati diri yang lebih tinggi kerana mereka menyedari manfaat-manfaat dari perbuatan mendengar bacaan-bacaan sutta. Mereka pun cenderung untuk sentiasa berani untuk mengharungi hidup dan menjadi kurang gelisah, berasa selamat serta tidak berasa bimbang jika tidak menerima pertolongan sesiapa pun.