"Wahai Yang Maha Mulia, apakah maksud Bodhisattva?"
Baginda
Buddha lantas menjawab, "[Bahawasanya sesetengah orang mengatakan
bahawa] barangsiapa yang mencapai bodhi itu digelar Bodhisattva atau
barangsiapa yang memiliki ciri-ciri sikap bodhi itu digelarkanlah dia
sebagai Bodhisattva."
"Wahai Yang Maha Mulia, jika
seseorang yang mencapai bodhi itu digelar sebagai Bodhisattva,
bagaimanakah pula mereka yang tidak mencapai bodhi itu memberi
persembahan kepada enam penjuru? Jika mereka yang mempunyai ciri-ciri
sikap bodhi itu digelarkan sebagai Bodhisattva, maka mereka yang
memiliki ciri dan sikap ini sahajalah yang boleh memberi persembahan
manakala mereka yang tiada tidak dapat memberikan persembahan. Tathagata
tidak sepatutnya menyatakan bahawa enam penjuru itu berada dalam
pemikiran makhluk berhati nurani."
"Wahai Tuan yang
baik, bukanlah disebabkan seseorang itu mencapai bodhi maka dia
digelarkan sebagai Bodhisattva. Kenapa tidak? Kerana mereka yang
mencapai bodhi itu digelarkan sebagai para Buddha manakala mereka yang
dalam usaha mencapai bodhi itu digelarkanlah mereka sebagai Bodhisattva.
Bukanlah juga kerana ciri-ciri bodhi itu maka mereka digelarkan sebagai
Bodhisattva."
"Wahai Tuan yang baik, makhluk berhati
nurani itu tidak mempunyai ciri-ciri yang khusus. Sama ada ciri bodhi
atau ciri dewa (malaikat), manusia, singa, harimau, serigala atau
anjing. Dalam hayat kini, mereka dijelmakan sebagai dewa-dewa atau
manusia melalui kecenderungan kesan karma baik dan akibat. Mereka
dijelmakan sebagai binatang seperti singa melalui kecenderungan kesan
karma buruk dan akibat.
"Hal yang sama juga benar
kepada Bodhisattva. Mereka yang menghidupkan bodhicitta melalui
kecenderungan kesan karma baik dan puncanya maka digelarkanlah mereka
itu sebagai Bodhisattva. Tidaklah benar untuk menyatakan bahawa semua
makhluk berhati nurani itu mempunyai ciri-ciri Bodhisattva. Kenapa?
Kerana jika seseorang itu mempunyai ciri (khusus), maka dia tidak
perlulah menghasilkan kesan-kesan karma baik dan akibatnya dengan
memberikan persembahan kepada enam penjuru. Wahai Tuan yang baik, jika
seseorang itu mempunyai ciri yang khusus, maka dia tidak perlulah
mempunyai pemikiran yang membawa kepada pengenalan dan kemerosotan.