Enam Penjuru Loka dan Enam Pāramita

[Baginda Buddha membalas] "Dalam dharma ini, enam penjuru pujaan itu adalah enam pāramita. Penjuru timur merujuk kepada dāna-pāramitā. Kenapa? Kerana penjuru timur itu membawa maksud terbitnya cahaya kebijaksanaan seseorang. Barangsiapa yang memuliakan dāna-pāramitā maka umurnya panjang dan kemewahannya bertambah.

Penjuru selatan merujuk kepada śīla-pāramitā. Kenapa? Kerana penjuru selatan bermaksud jalan hidup yang benar. Barangsiapa yang memuliakan śīla-pāramitā maka umurnya panjang dan kemewahannya bertambah. Penjuru barat merujuk kepada kṣānti-pāramitā. Kenapa? Kerana penjuru barat bermaksud tinggal di belakang oleh sebab dharma-dharma jahat itu ditinggalkan di belakang. Barangsiapa yang memuliakan kṣānti-pāramitā, maka umurnya panjang dan kemewahannya bertambah.

Penjuru utara merujuk kepada vīrya-pāramitā. Kenapa? Kerana penjuru utara itu bermaksud kejayaan ke atas dharma-dharma jahat. Barangsiapa yang memuliakan vīrya-pāramitā, maka umurnya panjang dan kemewahannya bertambah. Ruangan angkasa bumi itu merujuk kepada dhyāna-pāramitā. Kenapa? Kerana ruangan angkasa bumi itu bermaksud samadhi yang membolehkan seseorang itu memerhatikan tiga jalan hidup yang buruk dengan jelas. Barangsiapa yang memuliakan dhyāna-pāramitā maka umurnya panjang dan kemewahannya bertambah. Ruangan angkasa raya pula merujuk kepada prajñā-pāramitā. Kenapa? Kerana ruangan angkasa raya itu bermaksud yang tidak terlangkau. Barangsiapa yang memuliakan maka umurnya panjang dan kemewahannya bertambah.

Tuan yang budiman, berbeza dengan mereka dari dharma lain, enam penjuru itu berada dalam minda makhluk berhati nurani. Lantas Sujata bertanya, "siapakah yang boleh memberi sembah kepada enam penjuru ini?" Dibalas baginda Buddha, "Wahai budiman, hanya Bodhisattva yang memberikan persembahan kepada penjuru-penjuru ini".