Perkembangan Konsep Adi Buddha

Ensiklopedia Nasional Indonesia (1988) mendefinisikan Adi Buddha seperti berikut:
"...sebutan Tuhan Yang Maha Esa dalam ajaran Buddha. Sebutan ini terbit dari tradisi Aisvarika dalam aliran Mahayana di Nepal. Kemudian, ia tersebar ke Bengal dan seterusnya sampai ke Jawa. Aisvarika bermaksud mereka yang menganuti kefahaman bertuhan. Kata ini terbit dari perkataan isvara yang bermaksud Tuhan, merujuk kepada Mahabuddha atau Buddha Yang Agung."
Istilah Adi Buddha juga hidup dalam aliran Svavabhavaka di Nepal. Aliran ini adalah salah satu cabang Tantrayana yang tergolong dalam kelompok Mahayana. Aliran ini pun kemudian tersebar di Jawa sehinggakan pengertian Adi Buddha ini turut menjadi pengertian yang digunakan dalam ajaran Buddha dalam jajahan Srivijaya dan Majapahit. Pemerhati-pemerhati banyaknya merujuk pengertian bagi istilah ini dari penulisan B.H. Hodgson yang banyak mengkaji mengenai kepercayaan agama di Nepal. Dalam fahaman ini, seseorang itu akan mencapai moksa dan bersatu dengan Adi Buddha atau Isvara melalui amalan tapa dan samadhi dhyana.

Adi Buddha ini boleh dikatakan sebagai personifikasi kepada ketuhanan, namun ajaran Buddha tidak pula menjelaskan bahawa Tuhan Yang Maha Esa itu sebagai satu bentuk peribadi. Di kepulauan Indonesia, Adi Buddha digelar sebagai Sang Hyang Adi Buddha. Bentuk puja penyembahannya pula adalah Namo Sang Hyang Adi Buddhaya.