Ringkasan Cetera Sutasoma

Pada suatu ketika, seorang Bodhisattva dijelmakan sebagai Pangeran Sutasoma, anakanda kepada Raja di negara Hastinapura. Baginda ini membesar menjadi seorang yang berkebaktian dan mengamalkan brahmacharya. Baginda menolak untuk menjadi seorang raja. Suatu malam, baginda melarikan diri dari negara Hastinapura. Tatkala kehilangan baginda disedari, maka istana pun menjadi gemar. Raja dan Permaisuri pun menjadi sedih lalu ditenangkan oleh ramai orang di istana.

Apabila Pangeran Sutasoma tiba di hutan, baginda pun menjalankan pemujaan di sanggar dewi. Ketika memuja, muncullah dewi Vidyukarali di hadapan baginda lalu menyatakan bahawa pemujaan baginda itu diberikan pahala dan permohonan baginda akan ditunaikan. Pangeran Sutasoma pun mendaki pergunungan Himalaya sambil ditemani oleh beberapa orang sadhu. Apabila baginda tiba di sebuah asrama, baginda diceritakan mengenai seorang raja yang dijelmakan menjadi seekor raksasa. Baginda memakan daging manusia.

Menurut cetera, suatu masa dahulu pernah ada seorang raja yang digelar sebagai Purusada atau Kalmasapada di negara Kosala. Suatu hari, semua daging yang disediakan untuk santapan raja telah dimakan oleh anjing-anjing dan babi-babi. Tukang masak diraja berasa takut lalu mencari jalan keluar bagi keadaan ini. Namun, beliau gagal. Beliau terdesak lalu pergi ke tapak sumeru lalu memotong kaki salah satu mayat di situ dan menjadikannya sebagai santapan raja. Oleh kerana raja tersebut adalah seekor raksasa maka baginda merasakan bahawa santapan tersebut tersangatlah enak. Baginda pun bertanya, apakah daging yang dijadikan sebagai santapan baginda itu? Tukang masak diraja pun mengakui bahawa daging tersebut adalah daging manusia. Semenjak itu, raja menyukai santapan daging manusia.

Tidak lama selepas itu, kerajaan baginda menjadi kosong. Sama ada mereka telah dimakan oleh baginda atau mereka telah pun mencari suaka di tempat lain. Raja kemudian menghidapi penyakit akibat luka di kaki baginda yang tidak sembuh-sembuh. Ciri-ciri raksasa baginda semakin lama semakin terdedah lalu baginda pun mengasingkan diri di hutan. Ketika itu, Pangeran Sutasoma melawat asrama di situ. Raja Purusada membuat sumpah bahawa baginda akan menjalankan pemujaan dengan mengorbankan 100 orang raja kepada Kalabhairava sekiranya baginda disembuhkan dari sakit.

Para sadhu memohon Pangeran Sutasoma supaya membunuh raja raksasa itu. Dewi Pertiwi juga memohon sedemikian namun Pangeran Sutasoma enggan membunuhnya. Baginda hanya ingin menjalankan kehidupan sebagai seorang sadhu. Pangeran Sutasoma meneruskan perjalanan baginda. Semasa di pertengahahn jalan, baginda bertembung dengan Ganesa yang merupakan raksasa berkepala gajah. Raksasa ini mencari manusia untuk dilanyak. Pangeran Sutasoma nyaris-nyaris menjadi mangsanya namun baginda memeranginya sehingga binatang itu pun tewas. Dirasakan bahawa Pangeran Sutasoma seolah-olah cuba untuk merebahkan gunung-ganang.

Raksasa itu lalu menyerah kalah dan menerima wacana dari Sutasoma mengenai ajaran Buddha. Disabdakan bahawa ia dilarang daripada membunuh sebarang makhluk hidup. Selepas itu, ia pun tunduk berbakti menjadi murid kepada Sutasoma. Pangeran Sutasoma kemudian meneruskan pengembaraan baginda. Baginda bertembung pula dengan naga. Naga iti ditewaskan oleh baginda sehingga ia menjadi anak murid baginda.

Akhirnya, Pangeran Sutasoma menemui seekor harimau betina yang cuba memamah anak-anaknya sendiri. Pangeran Sutasoma tidak membenarkan hal itu terjadi namun harimau betina itu degil. Pangeran Sutasoma lalu mempelawa harimau betina itu supaya memamah dagin baginda. Harimau itu pun menerkam baginda dan menghirup-hirup darah baginda yang terasa segar serta enak itu. Namun, harimau itu mula menyedari bahawa ia telah berdosa dan meraung memohon ampun. Batara Indra muncul dan mengidupkan semula Pangeran Sutasoma. Harimau betina itu pun lalu menjadi anak murid Pangeran Sutasoma mengikut baginda meneruskan pengembaraan baginda.

Pada masa ini, berlakulah peperangan antara Raja Kalmasapada dan Raja Dasabahu. Raja Dasabahu adalah sepupu kepada Pangeran Sutasoma. Baginda menemui Pangeran Sutasoma lalu menjemputnya pulang ke negara mereka untuk dikahwinkan dengan puteri kepada Raja Dasabahu. Pangeran Sutasoma menerima pelawaan ini lalu berkahwin. Baginda pun dikurniakan cahaya mata dengan isteri baginda lalu ditabalkan menjadi raja di Hastinapura.

Kembali kepada cetera Raja Kalmasapada, baginda telah pun mengumpulkan seramai 100 orang raja untuk disembahkan kepada Kalabhairava. Namun, Kalabhairava enggan menerima mereka. Kalabhairava hanya mahukan baginda Raja Sutasoma sahaja! Raja Kalmasapada kemudian mengisytiharkan perang ke atas Hastinapura, namun disebabkan Raja Sutasoma tidak melawan maka baginda ditawan dan dibawa untuk persembahan kepada Kalabhairava. Raja Sutasoma merelakan hal ini supaya 100 orang raja yang ditawan itu dibebaskan. Disebabkan terkesan dengan hal ini, Raja Kalmasapada menghentikan upacara ini lalu melepaskan 100 orang raja yang menjadi tawanan perang itu.